APA ITU TENTERA DARAT

APA ITU TENTERA DARAT (TD)?
Keselamatan negara terbahagi kepada dua iaitu tradisional dan bukan tradisional. Bagi “traditional security” ianya lebih memfokuskan tentang menangani isu-isu konvensional, yang mana melibatkan ancaman kepada sebuah negara dari segi keganasan mahupun kemusnahan. Sebagai contoh pencerobohan pemberontakan, peperangan sivil dan lain-lain. Namun isu ini di lihat relevannya semasa Perang Dunia dan Perang Dingin. Seterusnya bagi “non-traditional security” pula boleh dilabelkan sebagai isu-isu bukan konvensional yang mana wujud selepas berakhirnya Perang Dingin. Antara isu yang menjadi contoh adalah berkaitan alam sekitar seperti pemanasan global, pencemaran, kekurangan sumber dan lain-lain. Kedua-dua kategori ini adalah sangat penting bagi mengimbangi sistem keselamatan sesebuah negara seterusnya mengekalkan kedaulatan negara. Apabila berbicara tentang keselamatan sudah pastinya boleh dikaitkan dengan sistem pertahanan negara dan Tentera Darat (TD) adalah salah satu organisasi yang secara tidak langsung terlibat dalam mempertahankan kedaulatan negara dan tanah air. Terdapat beberapa sudut serta kategori yang boleh dilihat sebagai contoh organisasi Tentera Darat itu sendiri, aset serta perkembangan TD dari segi latihan dan sebagainya.

Tentera Darat Malaysia merupakan satu komponen darat dan terbesar dalam Angkatan Tentera Malaysia di mana mempunyai 17 Rejimen dan Kor yang telah dipecahkan mengikut 3 kategori seperti pasukan-pasukan tempur, pasukan-pasukan bantuan tempur dan pasukan-pasukan bantuan perkhidmatan. Di dalam setiap pecahan kategori ini, Rejimen dan Kor itu sendiri mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri malah saling memerlukan. Rejimen Askar Melayu merupakan pasukan yang paling bersejarah dan ulung di dalam Tentera Darat Malaysia di mana pada mulanya disertai oleh 25 orang pemuda Melayu sebagai Kompeni percubaan Pasukan Askar Melayu pada 1 Mac 1933. Maka secara tidak langsung tertubuhnya sistem ketenteraan di Malaysia. Pada 1 Januari 1938 rejimen ini terus berkembang seterusnya menjadi satu batalion dikenali sebagai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu seterusnya Batalion Kedua ditubuhkan pada 1 Disember 1941 sebelum bermulanya Perang Dunia Kedua di Malaya.

We Will Write a Custom Essay Specifically
For You For Only $13.90/page!


order now

Kedua-dua batalion ini dilihat berkebolehan dalam peperangan semasa menentang tentera Jepun. Namun selepas itu negara dilanda ancaman Komunis dan pada tahun 1948, darurat telah diisytiharkan keatas negara. Menjelang tahun 1950 kekuatan dan kesiapsiagaan Tentera Darat berkembang positif dengan tertubuhnya beberapa batalion Rejimen Askar Melayu dan akhirnya menjadi tujuh batalion penuh. Dengan semangat serta perasaan cinta akan tanah air, angkatan tentera terus dibangunkan dan dinaik taraf apabila tertubuhnya pasukan berbilang bangsa iaitu Rejimen Persekutuan dan Skuadron Kereta Perisai Persekutuan pada tahun 1952. Tentera Darat telah berkembang maju setelah negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan Tentera Darat Malaysia dipermodenkan menjadi satu pasukan tentera untuk peperangan konvensional dimana lengkap untuk menjalankan operasi melawan insurgensi. Perkembangan Tentera Darat berkembang menerusi penerimaan serta penggunaan aset baru seperti kereta perisai di dalam Skuadron Kereta Perisai Persekutuan.

Malaysia telah diberi penghormatan sebagai sebuah negara merdeka serta membantu mengekalkan keamanan tanah air apabila tamat tempoh darurat dalam tahun 1960.  Penghormatan ini diberi kepada Malaysia selaku negara yang menghantar tenteranya berkhidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila ditugaskan untuk mengawal keamanan Republik Congo di benua Afrika, yang sedang bergolak untuk mencapai kemerdekaannya sendiri. Terdapat beberapa misi di bawah PBB telah berjaya dilaksanakan olen Tentera Darat sebagai contoh Namibia (UNTAC) – Feb 89, Cambodia (UNAMIC/UNTAC/UNMLT) – Nov 1991, Somalia (UNOSOM) – Jun 1993, Bosnia Herzegovina UNPROFOR/IFOR/SFOR – 1993 dan lain-lain. Fungsi Tentera Darat tidak hanya terhenti setakat itu sahaja malah Tentera Darat sekali lagi berhadapan dengan ancaman besar kepada negara, apabila Indonesia di bawah pimpinan Presiden Sukarno melancarkan konfrantasi terhadap Malaysia dalam tahun 1963.  Konfrantasi itu berlaku disebabkan bantahan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 apabila menggabungkan Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.  Selama 3 tahun konfrantasi ini berterusan dan banyak pertempuran berlaku di antara Tentera Darat dengan angkatan rejim Presiden Sukarno.  Anggota-anggota Tentera Darat telah menunjukkan semangat kepahlawanan dan semangat sedia berkorban untuk mempertahankan kedaulatan negara di dalam setiap pertempuran yang berlaku.

Bagi organisasi Tentera Darat Malaysia pula ianya disusun mengikut kumpulan-kumpulan tertentu mengikut peranan yang dimainkan oleh setiap unit. Tentera Darat yang diterajui oleh Panglima Tentera Darat berpangkat Jeneral. Beliau bertanggungjawab sebagai penasihat Panglima Angkatan Tentera tentang hal-hal keselamatan dan perihal kesediaan Tentera Darat dan juga dibantu oleh pegawai-pegawai kanan seperti Pengarah Rejimen dan Kor. Manakala peranan kumpulan-kumpulan tertentu adalah mengikut kepada formasi-formasi medan. Formasi tempur disusun mengikut saiz dan peranan. Pasukan Tentera Darat Malaysia boleh dikelaskan dalam 3 kumpulan mengikut peranan iaitu elemen Tempur, elemen Bantuan Tempur dan juga elemen Bantuan. Formasi ini mempunyai peranan dan kawasan operasi tertentu yang ditetapkan supaya tiada sebarang pertindihan kawasan operasi yang boleh mengakibatkan kekeliruan.
Sebagai Kelompok Tempur, kelompok ini melibatkan anggota dan sistem tempur yang berada di bahagian hadapan sekali (barisan hadapan) dalam peperangan dan lebih dikenali sebagai infantri. Ianya terdiri daripada Kor dan Rejimen iaitu Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Rejimen Sempadan (RS) dan Kor Armor Diraja (KAD). Manakala Kelompok Bantuan Tempur ini terdiri daripada anggota dan sistem tentera yang membantu Kelompok Tempur secara langsung di dalam peperangan. Ianya terdiri daripada Kor dan Rejimen iaitu Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Rejimen Artileri Diraja (RAD), Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) dan Kor Risik Diraja (KRD). Akhir sekali adalah Kelompok Bantuan Perkhidmatan yang berperanan untuk membantu Kelompok Tempur dan Bantuan Tempur dalam bentuk perkhidmatan logistik dan senggaraan serta perkhidmatan lain yang berunsur pentadbiran.  Ia mengandungi Kor dan Rejimen iaitu Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD), Kor Perkhidmatan Am (KPA), Kor Perkhidmatan Diraja (KPD), Kor Ordnans Diraja (KOD), Kor Kesihatan Diraja (KKD) dan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

Pasukan Tentera Darat disatukan dalam formasi tertentu untuk membolehkan “Command And Control” berkesan. Terdapat beberapa peringkat didalam organisasi ini dimana Markas Medan merupakan formasi tempur paling besar di dalam Tentera Darat Malaysia dan diketuai oleh Panglima berpangkat Leftenan Jeneral dan mempunyai elemen tempur sebanyak 4 divisyen dan dibantu oleh elemen-elemen bantuan seperti Artileri, Semboyan, Polis Tentera, Askar Jurutera dan sebagainya ketika ini. Kedua adalah Divisyen dimana unit tempur divisyen merupakan pasukan tempur kedua paling besar dan biasanya mempunyai anggota dari jenis divisyen Infantri yang mana sebilangan besar anggotanya terdiri dariapda pasukan infantri. Dalam Tentera Darat Malaysia kini terdapat 4 buah Divisyen dan selain itu juga ia mempunyai kekuatan 3 briged tempur dan disokong oleh pasukan bantuan tempur seperti Artileri, Semboyan, Askar Jurutera dan lain-lain.
Manakala Briged adalah satu formasi tempur yang biasanya mempunyai kekuatan 3 batalion ataupun rejimen. Namun boleh diubah menjadi empat atau dua battalion mengikut keperluan taktikal. Batalion adalah satu pasukan tentera yang mempunyai dua hingga enam Kompeni dan diperintah oleh seorang Leftenan Kolonel. Di dalam Tentera Darat Malaysia, batalion digunakan untuk panggilan unit-unit di dalam pasukan-pasukan infantri Rejimen Askar Melayu DiRaja dan Rejimen Renjer DiRaja, dan juga untuk Pasukan Kor Kesihatan DiRaja. Kor Risik DiRaja juga dikumpulan mengikut batalion. Bagi Kompeni, Skuadron dan Bateri, setiap Kompeni mempunyai tiga Platun dan disokong oleh satu elemen Kompeni Markas. Satu Kompeni biasanya diperintah oleh Seorang Mejar ataupun Kapten. Kompeni Markas juga mempunyai Sarjan Mejar Kompeni untuk membantu Ketua Kompeni dalam urusan pentadbiran. Kompeni Bantuan dilengkapkan dengan peralatan senjata yang lebih berat seperti mesingan, mortar dan penangkis kereta kebal. Seterusnya Platun dalam Tentera Darat Malaysia biasanya dianggotai oleh 34 orang anggota, dan dibahagikan menjadi 4 Seksyen, di mana setiap seksyen mempunyai 8 orang anggota. Salah satu daripada 4 seksyen di dalam platun akan dijadikan Seksyen Markas dan mengambil peranan memberi perintah kepada keseluruhan platun dan Seksyen Tempur Infantri adalah pasukan tempur paling kecil dalam Tentera Darat Malaysia. Seksyen dianggotai 8 orang anggota diketuai oleh seorang Sarjan ataupun Koperal.
Selain itu, sepertimana pasukan tentera darat lain di dunia, Tentera Darat Malaysia juga dilengkapi dengan senjata-senjata terkini yang diperolehi dari beberapa negara. Pemilihan karbin Colt M4A1 buatan Amerika Syarikat telah dipilih menjadi raifal tempur standard untuk anggota juga dilihat selaras dengan peredaran masa.  Pemilihan karbin M4A1 menepati spesifikasi ATM yang mahukan senjata yang jauh lebih fleksibel, ringan, dan mudah digunakan. Senjata ini dikeluarkan di Malaysia secara berlesen oleh SME Ordnance. Perolehan karbin M4A1 membabitkan permulaan 14,000 unit dan akan dilakukan secara berperingkat. Karbin M4A1 akan dilengkapkan dengan aksesorinya. Segala penambahbaikan bergantung kepada peruntukan Rancangan Malaysia bagi pemodenan sistem persenjataan ATM. Tidak dapat dinafikan bahawa segala penambahbaikan memerlukan perbelanjaan sampingan seperti penggunaan dan selenggara aset, pembelian alat ganti, latihan, dan tidak dilupakan akan kebajikan anggota serta veteran tentera.
Walau bagaimanapun, Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menerima helikopter MD530G, sistem artileri bergerak Howitzer M109 dari Amerika Syarikat, dan meriam artileri 105mm. Tambahan lagi, Tentera Darat akan memperoleh aset dan fasiliti untuk Grup Gerak Khas seperti yang diumumkan di dalam perbentangan bajet 2018 yang lalu. Selain daripada itu, projek kereta perisai 8×8 AV8 Gempita yang terdiri daripada pelbagai varian telah dilaksanakan dan Tentera Darat secara berperingkat menerima kenderaan berperisai tersebut dan ada di antaranya telah pun dikerahkan untuk beroperasi. Pada ketika pihak TDM bersama syarikat tempatan sedang mengkaji untuk meningkat upayakan kenderaan berperisai Condor dan kereta kebal ringan Scorpion. Tidak dilupakan juga akan pengisytiharan 18 RAMD (PARA) berstatus operasi (elit) melalui penstrukturan semula Tentera Darat. Pengisytiharan ini sekaligus menambahkan lagi kekuatan Pasukan Atur Cepat TDM. Kesiapsiagaan ini tidak bermakna kita perlu berperang dengan negara-negara luar tetapi perlu diingatkan bahawa pertahanan adalah insurans negara dan memainkan peranan yang penting dalam faktor ‘deterrence’ seterusnya mempertahankan kedaulatan negara. Jika kita meneliti secara halus, ancaman pengganas khususnya telah berkembang dan menjadi satu ancaman hibrid di mana operasi membanteras pengganas memerlukan kerjasama semua pihak termasuk antara pasukan polis dan tentera.

Seterusnya adalah dari aspek pembangunan Tentera Darat dalam konteks perubahan modul latihan mahupun eksesais. Perkasakan kesiagaan angkatan adalah sangat penting apabila perubahan perkembangan senario keselamatan antarabangsa dan rantau ini telah mencorakkan lanskap strategik keselamatan sesebuah negara itu sendiri. Keadaan ini memperuntukkan Tentera Darat agar memperkasakan kesiagaannya bagi menghadapi segala jenis bentuk ancaman dan cabaran dalam pelbagai aspek sama ada tradisional mahupun bukan tradisional. Justeru, kesiagaan Tentera Darat perlu diperkasakan melalui pembangunan modal insan, doktrin dan angkatan (Force Development). Tentera Darat mampu membina satu ketumbukan yang kukuh melalui latihan individu dan kolektif yang praktikal, realistik dan berkesan. Jadi pembangunan doktrin dan manual perlulah terus dibangunkan sejajar dengan perolehan peralatan serta aset baharu serta perubahan corak peperangan masa kini dan masa hadapan. Kedua-dua aspek ini mestilah diuji dan dinilai tahap keberkesanannya menerusi latihan secara berkala dan berterusan di setiap peringkat pemerintahan Tentera Darat. Pembangunan modal insan dan doktrin seharusnya didokong dengan perancangan pembangunan angkatan yang mampan. Justeru itu, usaha dalam memperkasakan kesiagaan Tentera Darat dapat direalisasikan di masa hadapan apabila Rancangan Pembangunan Strategik Tentera Darat Army 4NextG diteruskan. Seluruh lapisan warga Tentera Darat perlu mengorak langkah supaya TD kekal relevan sebagai sebuah ketumbukan utama benteng pertahanan negara sejajar dengan aspirasi negara dan Angkatan Tentera Malaysia agar mencapai kejayaan serta kegemilangan demi kedaulatan tanah air tercinta.

Akhir sekali dunia mengalami perubahan yang drastik dalam konteks persekitaran ekonomi mahupun sosiopolitik. Pelaksanaan Dasar Pertahanan Negara dan segala pengurusan hal ehwal pertahanan serta sumber-sumber yang disediakan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu diperkasakan bagi tujuan mempertahankan negara. Dasar Pertahanan Negara mencerminkan hasrat negara untuk mempertahankan kepentingan-kepentingan strategiknya serta memelihara keselamatan dan kedaulatan negara dimana ia menggariskan tiga asas utama, iaitu kepentingan-kepentingan strategik negara, prinsip-prinsip pertahanan dan konsep pertahanan. Ia menekankan keperluan bagi mengekalkan persekitaran kawasan kepentingan strategik negara yang stabil dan aman. Tentera Darat telah banyak berkembang daripada segi aset dan pentadbirannya itu sendiri untuk memastikan Tentera Darat lebih kehadapan. Ia kerana tentera adalah salah satu aset penting untuk negara. Tentera telah diberi kepercayaan yang tinggi untuk menjaga sesebuah negara. Setiap pembangunan dan perkembangan yang telah dibuat adalah telah diperincikan mengikut keperluan sesuatu perkara. Bermula daripada perkembangan kor yang terdapat didalam Tentera Darat. Ia bertujuan untuk memastikan negara ini dijaga daripada segala aspek dari setiap penjuru. Dengan pertambahan kor didalam Tentera Darat, ia jelas menunjukkan bahawa perkembangan tentera telah meningkat daripada segi pentadbiran dan pertahanan. Setiap kor yang terdapat didalam Tentera Darat mempunyai fungsinya sendiri. Selain itu, perkembangan juga terjadi dari segi aset-aset yang baru diterima di dalam Tentera Darat. Aset-aset dalam Tentera Darat telah banyak diperbaharui untuk mempertingkatkan pertahanan didalam negara. Setiap aset yang diperbaharui telah diteliti keperluannya dan kepentingannya dan semua aset yang diterima oleh Tentera Darat adalah aset yang terbaik untuk digunakan dalam mempertahankan negara. Perkembangan dari segi eksesais dan latihan yang dijalankan juga adalah salah satu perkembangan yang telah dipertingkatkan. Ia adalah bertujuan untuk melahirkan tentera yang lebih perkasa, berdisiplin dan berkualiti dalam mempertahankan negara. Setiap eksesais dan latihan telah diisi dengan modul-modul yang telah diuji dan dinilai tahap pencapaiannya. Oleh itu, setiap perubahan dan perkembangan di dalam Tentera Darat adalah salah satu peningkatan yang perlu dilakukan untuk kepentingan negara.

RUJUKAN:
Berita Tentera Darat Malaysia (BTDM)